Mencari Jalan Kembali..
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah
kepada Allah dan
carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan
meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan
Islam) supaya kamu beroleh kejayaan." - Al-Maidah: Ayat 35
Jasad kita berasal daripada tanah. Ia harus kembali kepada asal
kejadiannya untuk mencapai kepuasan.
Disebabkan itulah kita makan apa yang tumbuh daripada tanah, juga
binatang-binatang yang memakan hasil tanah.
Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan semuanya tumbuh daripada tanah.
Apabila jasad memperoleh sumber makanan daripada permukaan bumi,
maka ia akan kenyang, tenang dan bertenaga.
Ruh kita datang daripada Allah, ditiupkan ke dalam jasad.
Maka ruh takkan mencapai ketenangan selagi ia belum kembali kepada
Tuhan.
Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain
melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali.
Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan
menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita
daripada Tuhan.
Jiwa
yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan
habis dikejar.
Makin kita punya harta, makin jiwa kacau tak senang duduk. Terikat
dengan material.
Makin kita punya pangkat, makin tinggi yang ingin kita kejar dan
capai.
Makin kita punya apa sahaja yang kita inginkan, makin kita
inginkan sesuatu yang lebih lagi untuk kepuasan.
Hakikatnya jiwa kita menderita, tak puas dan tak mencapai
ketenangan, ketenteraman.
Bukan ertinya kita harus terkurung meninggalkan dunia luar, itu
adalah satu fahaman yang salah.
Sebaliknya, gunakanlah apa sahaja yang ada atas dunia ini demi
mencari jalan kembali kepada Allah.
Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi
jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada
pergantungan kepada Ilahi.
Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam
segenap kehidupan.
Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan
kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi
azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." - Az-Zumar: 54
Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat
kita mencari-Nya.
Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya.
Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan
kita dan lebih menarik hati kita.
Maka kita tak jadi kembali.
Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal
Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu
untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya.
Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang
telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan
maksiat), janganlah kamu berputus asa
dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - Az-Zumar: Ayat 53
Wahai
jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas
daripada pengawasan Allah?
Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak
mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu
daripada Ilahi.
Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.
Maka
wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah... Kau tidak bertemu kerana kau
tidak mencari.
Ma Hua Khoir Fahua Min 'Indillah,, Wa Ma Hua Khatto, Fahua Minni..
Jazakallah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan